Pages

27 Jan 2014

Negara Islam Menganjurkan Berbuat Baik dan Berkasih-Kasihan.
Tarikh:  25Jan2014
Tempat:  Masjid Raudhah Lundang.
Kitab   : Kebagusan Undang-Undang Islam dan Kecelaan Undang-Undang Manusia.


Petikan dari kitab
" Dan bermula Islam kemudian daripada itu mendirikan ia akan masyarakat atas berbuat bakti dan kebajikan, dan atas berkasih-kasihan, dan menyuruh ia atas yang kuat dan yang lemah dan yang kaya dan yang miskin dan yang hampir dan yang jauh dengan bahawa berbuat bakti ia bagi saudaranya kasihan belas ia akan dia".

Perbuatan berkasih sayang ini adalah suruhan dari Allah jua yang menciptakan manusia sebagaimana di dalam firmannya
( وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ)

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).Al-maidah:2

)وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ(

الحشر/9
Dan mendahulukan mereka itu akan orang yang lain daripada dirinya sendiri , walaupun mereka sendiri berhajat.) (Surah al-Hasyr)

Sebab turun ayat ini ialah sebagaimana yang disebut di dalam hadis Abu Hurairah bahawa seorang lelaki dari golongan Ansar yang telah didatangi tetamu. Sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa melainkan makanan yang cukup untuk nya dan anak kecil mereka. Kemudian dia mengarahkan isterinya untuk menidurkan anaknya kemudian mematikan pelita supaya gelap kemudian menjemput tetamu untuk makan sedangkan mereka dan anak kecil mereka tidak makan. Lalu turunlah ayat ini.

Ini adalah ajaran dan didikan Islam yang telah terhasil dapat dilihat pada orang-orang mukmin terhadap saudara mereka sehingga sanggup berlapar demi memuliakan tetamu mereka. Sifat ini agak susah untuk dilihat pada hari ini jika dibanding apa yang telah dilakukan oleh lelaki Ansar ini. Walaupun manusia pada hari ini sebenarnya lebih mewah dan mempunyai harta yang melimpah namun susah untuk memuliakan tetamu jika ada pun hanyalah memuliakan tetamu yang mempunyai kedudukan atau yang paling rapat sahaja.

Apa yang lebih berat lagi ialah, apa yang berlaku pada hari ini sifat mementingkan diri sendiri dan berlumba-lumba mendapatkan kelebihan dan keuntungan untuk diri sendiri sehingga hilangnya sifat kasihan belas kepada orang lain terutamanya kepada orang-orang miskin dan lemah. Orang kaya menindas orang miskin, orang berkuasa menindas orang bawahan, pemimpin menindas rakyat dan sebagainya. Akhirnya berlakulah kezaliman yang berleluasa tetapi dianggap perkara biasa, siapa cepat dia dapat, siapa bernasib baik itu adalah haknya. Semua ini adalah bersalahan dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Manakala dalil-dalil dari hadis nabi saw antaranya:-
" الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى , ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ "
Orang-orang yang mengasihi maka akan dikasihi oleh Ar-Rahman Tabaraka Wa Taala. Oleh itu kasihilah semua orang yang berada di bumi nescaya akan mengasihi kamu oleh semua yang ada dilangit. (para malaikat)

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه خَادِمِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه قَالَ: "لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ".
 رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ [رقم:13]، وَمُسْلِمٌ [رقم:45
Daripada Abi Hamzah Anas bin Malik R.A dari Nabi saw telah bersabda" Tidak beriman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri" Riwayat Bukhari dan Muslim.

Besar nya nilai kasih sayang di dalam hubungan sesama Mukmin sehingga tidak dikira sempurna iman sehinggalah kasih seseorang itu kepada saudaranya seperti kasih kepada dirinya sendiri. Seorang mukmin tidak biarkan saudaranya kelaparan , kehausan, susah, tertindas, dizalimi, sakit, dianiaya sebagaimana dia tidak mahu semua itu berlaku kepada nya.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : ( مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ )

Dari Anas bin Malik R.A telah berkata: aku telah mendengar dari Rasulullah saw bersabda (Sesiapa yang suka rezekinya diluaskan oleh Allah dan dipanjang umur sihat walafiat, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim. Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasaei.

Maka jelaslah di sini bahawa Islam bukan agama pengganas sebagaimana yang dicanang oleh barat dan mereka yang bermusuh dengan Islam, termasuk juga mereka yang berprasangka buruk kepada negara Islam yang mahu ditubuhkan. Bahkan Islam memberi galakan dan kelebihan kepada mereka yang beramal dengan sifat berkasih-sayang. wallahu a'lam

26 May 2012

20 Mei 2012- Kuliah Maghrib di Surau An Najahiah Seksyen 19 Shah Alam

Tafsir Surah al Baqarah
Tafsir Ayat Pertama Surah al-Baqarah
Tarikh:18 Mei 2012
Tempat: Masjid al-Faizin Kepong

Isi kandungan tazkirah:-
    Dari awal surah Baqarah. Allah telah menurunkan "AL-KITAB" nya melalui junjungan besar Nabi Muhammad saw.  Di kenali dengan alQuran sebagaimana nama yang disebut di dalam al Quran sendiri.  Di dalam al Quran tidak ada keraguan padanya atau was-was kerana ianya adalah merupakan Kalam Allah yang Maha Benar lagi Maha Bijaksana.
    Walaupun begitu tidak semua manusia mendapat manfaat dari al-Quran, bahkan yang mendapat panduan dan hidayah hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja.  Mereka yang bertaqwa menjadikan quran sebagai panduan hidup di dalam semua lapangan sama ada dalam bab ibadat kepada Allah secara ritual sehinggalah kepada urusan sesama manusia dan politik pemerintahan.
    Al-Quran adalah manual kehidupan manusia, sebagaimana peralatan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang pengeluar yang semuanya disertakan dengan manual untuk menggunakannya dengan cara yang betul.  Setiap kenderaan yang dikeluarkan mesti disertakan dengan buku manual (panduan), kamera mesti ada manual, peti sejuk ada manual, jika pengguna menggunakan peralatan tanpa manual nescaya peralatan tidak akan tahan lama.
    Oleh itu manusia adalah satu produk yang dihasilkan oleh Allah swt yang Maha Kuasa.  Maka Allah yang Maha Bijakasana telah menyediakan sebuah buku panduan kepada manusia dengan tujuan agar manusia dapat meneruskan kehidupan dengan cara yang betul dan tidak akan rosak. Lihatlah sekarang apabila manusia meninggalkan panduan daripada al-Quran , manusia menjadi rosak binasa pembunuhan menjadi kebiasaan, perompakan, zina , anak luar nikah, sumbang mahram, melanggar fitrah kehidupan manusia seperti lelaki kahwin lelaki dan perempuan kahwin perempuan. Ini sebahagian yang disebut, sememangnya amat banyak kebejatan yang dilakukan oleh manusia akibat dari meninggalkan al-Quran.